Aspek Kajian KOMSAS (Kemaskini)



Aspek Kajian Komsas

Atau

Klik di sini untuk muat turun.

Teknik Penulisan Karangan Rangsangan

Teknik Penulisan Karangan Rangsangan

1. Tentukan T, K, F. T ialah Tema, K ialah kata kunci dan F ialah format.

2. Tulis karangan sebanyak 5 perenggan yang terdiri daripada 3 isi.

3. Bahagian pengenalan cukuplah setakat dua ayat sahaja, iaitu ayat rangsangan (AR) dan ayat arahan (AA).

4. Perenggan isi pula hendaklah sekurang-kurangnya terdiri daripada dua ayat, iaitu ayat Judul (AJ) dan ayat yang lain sama ada ayat huraian (AH), ayat contoh (AC) atau ayat penegas (AP).

5. Perenggan kesimpulan pula perlulah ditulis dua ayat sahaja seperti ayat cadangan, (A Cdgn), Ayat pendapat (A Pndpt), dan sebagainya.

6. Jangan lupa masukkan ungkapan yang menarik.

Latihan: Karangan Rangsangan

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah amalan membaca. Panjang huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah membendung gejala samseng di sekolah. Panjang huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.




Panduan Menjawab Soalan Pemahaman Umum

• Soalan ini wajib dijawab.
• Berdasarkan petikan untuk soalan Rumusan.

• 3 soalan akan dikemukakan yang terdiri daripada:
2 soalan pemahaman langsung terhadap kandungan petikan.
1 soalan pemahaman atau aplikasi yang berasaskan KBKK.

• Soalan pemahaman langsung terhadap kandungan teks menyoal berasaskan kata tanya berikut:
Apa...
Siapa...
Di mana...
Mengapa/Kenapa...
Bagaimana...


ataupun menggunakan arahan berikut:

Jelaskan...
Terangkan...
Huraikan secara ringkas...
Gambarkan ...
dan sebagainya.

• Soalan pemahaman/aplikasi berasaskan KBKK:
Pada pendapat anda,...
Sekiranya anda....
Jika anda....
dan sebagainya.


Pendekatan menjawab soalan

• Baca petikan dari awal hingga akhir walaupun semasa menjawab soalan rumusan anda sudah membacanya.
• Fahami apa yang terkandung dalam petikan.
• Baca soalan dan garis kata kunci soalan.
• Pastikan manakah soalan langsung dan soalan KBKK.
• Padankan apa yang disoal dengan markah yang diperuntukkan kerana jumlah markah boleh menggambarkan berapa isi yang dikehendaki.
• Tulis menggunakan ayat yang sempurna dari segi struktur ayat dan tanda baca yang digunakan.
• Gunakan bahasa yang standard, bukannya yang dipengaruhi kata pinjaman atau loghat tempatan.
• Sekiranya soalan terdiri daripada dua bahagian, jawab bahagian kedua dalam baris baru.
• Untuk soalan KBKK terutama yang berkehendakkan pandangan anda, jangan sesekali menjawab secara melawan arus, iaitu menentang gagasan atau saranan yang dikemukakan.
• Dicadangkan anda menggaris setiap isi yang dikemukakan dengan pensel.

• Contoh soalan dan jawapan:

Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia untuk membendung keganasan oleh golongan pelampau?
(3 markah)

Malaysia telah mengambil langkah-langkah yang wajar untuk mengatasi kegiatan ganas golongan pelampau dengan memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), memantau kegiatan persatuan dan pertubuhan yang diragui serta memberi penerangan menerusi media massa.

• Dicadangkan anda menggunakan tidak lebih 15 minit untuk menjawab ketiga-tiga soalan dalam bahagian ini.

Latihan 1: Sistem Bahasa

Sila jawab latihan ini pada minggu pertama cuti.
....................................

(a) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat-ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Komen-komen yang membina telah dikemukakan oleh juru ulas terkemuka itu demi meningkatkan mutu menerbitkan filem tempatan.

(ii) Pengaruh dailek dalam pertuturan didapati mempengaruhi prestasi tulisan para pelajar di kawasan-kawasan tertentu di negara ini.

(iii) Projek untuk memperlebarkan jalan-jalan raya di kawasan bandaraya di seluruh negara sedang giat dijalankan untuk mengatasi masalah kesesakan.

--------------------

(b) Dalam ayat- ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Penunggang serta penumpang motosikal wajib memakai topi keledar dengan rapi demi untuk memastikan keselamatan mereka ketika di jalan raya.

(ii) Kebanyakan ibu dan bapa yang berkerjaya gagal memberi pandangan sepenuhnya pada anak-anak mereka oleh sebab mereka terlalu sibuk dengan pekerjaan masing-masing.

(iii) Para remaja di negara ini Perdana Menteri seru untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran teknologi maklumat supaya mereka dapat berlawan dengan remaja di negara-negara maju.

---------------------------

(c) Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan ayat-ayat tersebut.

(i) Sekalipun Tengku Rosman merupakan seorang kerabat raja, namun pergaulannya dengan rakyat biasa tidak akan menjatuhkan martabatnya.

(ii) Segala jasa dan bakti yang ditaburkan oleh pejuang kemerdekaan negara tidak akan dilupakan walaupun mereka sudah meninggalkan kita semua.

(iii) Didikan dan panduan yang diberikan oleh ibu bapa akan mencorakkan peribadi anak-anak mereka.