Showing posts with label nota. Show all posts
Showing posts with label nota. Show all posts

Aspek Kajian KOMSAS (Kemaskini)



Aspek Kajian Komsas

Atau

Klik di sini untuk muat turun.

Sistem Bahasa: Pola Ayat Dasar

Ayat Dasar

1. Ayat dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa.

2. Walaupun terdapat berbagai-bagai jenis ayat dari segi binaan dan susunannya, asas binaannya terdiri daripada beberapa pola tertentu, yang disebut pola ayat dasar sesuatu bahasa.

3. Daripada pola itulah terbit ayat yang lain , sama ada ayat tunggal atau ayat majmuk, ayat pendek atau ayat panjang, ayat aktif atau ayat pasif dan sebagainya.

4. Dalam bahasa Melayu, pola ayat dasar boleh dibahagikan kepada empat jenis dengan berpandu kepada jenis-jenis binaan subjek dan predikatnya.

i. Frasa Nama + Frasa Nama
FN FN
Contoh: Encik Baihaqi (FN) seorang guru (FN)

ii. Frasa Nama + Frasa Kerja
FN FK
Contoh: Aniza(FN) membaca buku (FK)

iii. Frasa Nama + Frasa Adjektif
FN FK
Contoh: Rumah Intan (FN) besar (FA)

iv. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama
FN FS
Contoh: Dia (FN) dari Jitra (FN)

Rujukan:

Nik Safiah Karim et.al. 2008. Tatabahasa Dewan (Edisi ketiga), Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Abdullah Hassan. 2008. Tatabahasa Pedagogi Untuk Sekolah Menengah, PTS Profesional: Kuala Lumpur.


Latihan:


Bina empat ayat bagi setiap pola ayat dasar yang telah dipelajari.

Sistem Bahasa: Kata Pemeri Adalah dan Ialah

Sumber: Blog Santun Bahasa (Profesor Emeritus Abdullah Hassan)

---

Berikut ada sebuah permintaan daripada Encik Danish.

Salam Tuan Prof.

Saya hendak bertanya.

Saya keliru dengan penggunaan “ialah” dan “adalah”. Apa perbezaan antara dua perkataan itu, dan bagaimana hendak digunakan?

Terima kasih atas tunjuk ajar Tuan.

danish (dohimbang@yhoo.com)

Bahagian ini diambil daripada Tatabahasa Dewan edisi terakhir. Ini adalah Tatabahasa Dewan. Saya bukan pengarangnya.

Namun, saya sudah mencuba menyesuaikan bahasa dan poersembahannya supaya mudah difahami. Sila baca dengan teliti dan sekiranya masih ada kesukaran memahaminya, silalah kemukakan pertanyaan Encik kepada saya. Saya akan menjawab pertanyaan selanjutnya dengan menggunakan kaedah saya sendiri.

Kata Pemeri

Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Pemerihalan itu dapat dilakukan melalui dua cara, iaitu:

(i) secara persamaan antara subjek dengan predikat atau ekuatif, dengan penggunaan kata pemeri ialah,
(ii) secara huraian tentang subjek oleh predikat, dengan penggunaan kata pemeri adalah.

Penggunaan kata pemeri ‘ialah’ hadir di hadapan frasa nama seperti yang terdapat dalam ayat-ayat berikut:

148. Antara perkara yang dibicarakan dalam buku itu ialah masalah moral negara.
149. Dalam terjemahan komunikatif, yang mustahak ialah mesej yang hendak disampaikan.
150. Bahasa Melayu ialah bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia.

Kata pemeri ‘adalah’ pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi seperti yang terdapat dalam ayat berikut:

151. Sumbangan besar beliau adalah dari segi peningkatan ekonomi rakyat luar bandar.
152. Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan.

Perlu diingat bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas, dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembentukan ayat bahasa Melayu.

Perlu juga diingat bahawa kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh yang demikian, penggunaan kata pemeri ‘adalah’ dalam ayat-ayat berikut dianggap menyalahi tata nahu bahasa Melayu.

153. * Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.
154. * Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
155. * Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin. 156. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.

Ayat di atas seharusnya berbentuk seperti berikut:

Ayat 153. * Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok, yang betul adalah seperti berikut:

153a. Dengan ini diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok. ‘
153b. Anda diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
153c. Ibu bapa diberitahu sekolah akan ditutup esok.
153d. Tuan-tuan diberitahu sekolah akan ditutup esok.
153e. Dengan hormatnya diberitahu sekolah akan ditutup esok.

Ayat 154. *Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan, yang betul adalah sepert berikt:

154a. Dengan ini dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
154b. Tuan dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
154c. Anda dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.

Ayat 155. *Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin, yang betul adalah seperti berikut:

155a. Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin.

Ayat 156. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu, yang betul adalah seperti berikut:

156a. Kegagalan projek itu disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.

KOMSAS: Pantun Kiasan

Maksud Setiap Rangkap
  • Sesuatu benda yang telah rosak atau buruk tidak harus dibuang begitu saja kerana kemungkinan benda itu masih bleh digunakan untuk keperluan lain.
  • Orang dagang bersikap amat merendah diri sehingga mengakui kehadirannya tidak berguna atau tidak memberi faedah.
  • Seseorang lelaki ingin mendapatkan seseorang gadis sebagai kekasih atau isteri tetapi gadis idamannya itu sukar diperoleh kerana terlalu banyak halangan atau darjatnya terlalu tinggi.
  • Seseorang tidak harus beranggapan bahawa sesuatu yang belum pasti itu akan berjaya dimiliki kerana kemungkinan akan berlaku sesuatu peristiwa yang menyebabkan harapannya tidak kesampaian.
  • Seseorang yang memiliki kekuatan atau kemampuan untuk menyelesaikan masalah yang besar tentu saja tidak menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan masalah yang kecil.
Persoalan

  • Barang-barang yang sudah lama atau yang sudah rosak sebenarnya masih boleh digunakan untuk sesuatu tujuan lain.
  • Orang dagang sentiasa bersikap merendah diri di perantauan supaya tidak dianggap berlagak pandai atau angkuh.
  • Sesuatu yang berharga atau cita-cita yang tinggi memang sukar dicapai kerana banyak halangan.
  • Sikap suka menganggap sesuatu yang belum pasti itu sudah menjadi hak milik kita boleh mendatangkan kekecewaan.
  • Setiap orang mempunyai kebolehan untuk menyelesaikan sesuatu masalah, baik masalah yang kecil mahpun masalah yang besar.

Nilai dan Pengajaran
  • berjimat cermat
  • merendah diri
  • berani
  • yakin diri

KOMSAS: Pantun Mengenang Nasib

Maksud Setiap Rangkap

  • Masalah yang besar dapat diselesaikan berbeza dengan masalah hati dan perasaan; atau masalah luaran lebih mudah diselesaikan jika dibandingkan dengan kekecewaan atau sakit hati yang dialami.

  • Kesenangan atau kebahagian yang diharapkan berkekalan sepanjang masa berakhir dengan kesusahan.

  • Kecederaan di luar seperti luka di tangan memang dapat dilihat oleh orang lain tetapi kekecewaan atau kesedihan di dalam hati tidak diketahui sesiapa.

  • Kita tidak boleh mengharapkan nasib yang baik saja sepanjang masa kerana nasib baik atau nasib buruk sudah menjadi adat dalam kehidupan dan terpaksa dihadapi oleh setiap orang.

Tema Dan Persoalan

  • Perasaan sedih atau perasaan kecewa yang sukar diubati.
  • Nasib baik tidak selalu menimpa kita kerana ia merupakan takdir tuhan.
  • Perasaan kesedihan dan kekecewaan dapat menyembunyi daripada orang lain keran ia terpendam dalam hati seseorang dan sukar dilihat melalui luaran.

Bentuk

  • Terdiri daripada 4 rangkap
  • Bilangan baris adalah sama iaitu 4 baris serangkap
  • Rima akhir ialah a,b,a,b
  • Bilangan kata pada setiap baris hampir sama iaitu 4 hinggan 5 patah perkataan sebaris.
  • Bilangan suku kata pada setiap baris juga hampir sama, iaitu 9 hingga 10 suku kata.

Gaya Bahasa/Unsur Keindahan

  • Bahasa Kiasan
  • Anafora
  • Asonansi
  • Aliterasi
  • Puitis

Nilai/Pengajaran

  • Kesabaran dan Ketabahan
  • Percaya pada qadak dan qadar
  • Menjaga hati dan perasaan seseorang
  • Menerima takdir tuhan
  • Menyembunyikan kesusuhan atau perasaan susah hati