Sistem Bahasa: Kata Pemeri Adalah dan Ialah

Sumber: Blog Santun Bahasa (Profesor Emeritus Abdullah Hassan)

---

Berikut ada sebuah permintaan daripada Encik Danish.

Salam Tuan Prof.

Saya hendak bertanya.

Saya keliru dengan penggunaan “ialah” dan “adalah”. Apa perbezaan antara dua perkataan itu, dan bagaimana hendak digunakan?

Terima kasih atas tunjuk ajar Tuan.

danish (dohimbang@yhoo.com)

Bahagian ini diambil daripada Tatabahasa Dewan edisi terakhir. Ini adalah Tatabahasa Dewan. Saya bukan pengarangnya.

Namun, saya sudah mencuba menyesuaikan bahasa dan poersembahannya supaya mudah difahami. Sila baca dengan teliti dan sekiranya masih ada kesukaran memahaminya, silalah kemukakan pertanyaan Encik kepada saya. Saya akan menjawab pertanyaan selanjutnya dengan menggunakan kaedah saya sendiri.

Kata Pemeri

Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Pemerihalan itu dapat dilakukan melalui dua cara, iaitu:

(i) secara persamaan antara subjek dengan predikat atau ekuatif, dengan penggunaan kata pemeri ialah,
(ii) secara huraian tentang subjek oleh predikat, dengan penggunaan kata pemeri adalah.

Penggunaan kata pemeri ‘ialah’ hadir di hadapan frasa nama seperti yang terdapat dalam ayat-ayat berikut:

148. Antara perkara yang dibicarakan dalam buku itu ialah masalah moral negara.
149. Dalam terjemahan komunikatif, yang mustahak ialah mesej yang hendak disampaikan.
150. Bahasa Melayu ialah bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia.

Kata pemeri ‘adalah’ pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi seperti yang terdapat dalam ayat berikut:

151. Sumbangan besar beliau adalah dari segi peningkatan ekonomi rakyat luar bandar.
152. Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan.

Perlu diingat bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas, dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembentukan ayat bahasa Melayu.

Perlu juga diingat bahawa kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh yang demikian, penggunaan kata pemeri ‘adalah’ dalam ayat-ayat berikut dianggap menyalahi tata nahu bahasa Melayu.

153. * Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.
154. * Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
155. * Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin. 156. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.

Ayat di atas seharusnya berbentuk seperti berikut:

Ayat 153. * Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok, yang betul adalah seperti berikut:

153a. Dengan ini diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok. ‘
153b. Anda diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
153c. Ibu bapa diberitahu sekolah akan ditutup esok.
153d. Tuan-tuan diberitahu sekolah akan ditutup esok.
153e. Dengan hormatnya diberitahu sekolah akan ditutup esok.

Ayat 154. *Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan, yang betul adalah sepert berikt:

154a. Dengan ini dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
154b. Tuan dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
154c. Anda dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.

Ayat 155. *Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin, yang betul adalah seperti berikut:

155a. Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin.

Ayat 156. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu, yang betul adalah seperti berikut:

156a. Kegagalan projek itu disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.

Sistem Bahasa: Kesalahan Ejaan dan Imbuhan

Jawab soalan di dalam kertas SMKMD dan hantar pada 26 Julai 2009 (Ahad).
-------------------------------------

Kenal pasti dan betulkan kesalahan ejaan dan imbuhan yang terdapat dalam ayat di bawah.

a)

i) Sejumlah RM10 juta akan dibelanjakan untuk mebina saluran paip di seluroh negara berikutan masalah bekalan air yang semakin meruncing.

ii) Kadar temiskin negara semakin menurun setelah pelbagai program dijalankan olih pihak kerajaan.

iii) Nenas merupakan hasil pertanian negara yang penting kerana telah menyumbang sejumlah pendapat kepada negara.

b)

i) Rumahtangga yang porak-peranda akan memberikan kesan buruk kepada anak-anak.

ii) Jabatan Pertanian Selangor telah mempromosikan minuman jus bungaraya sempena menyambut Hari Peladang se-Malaysia.

iii) Pelajar-pelajar hari ini begitu menekan untuk mencapai keputusan cermelang bagi memenuhi impian ibu bapa mereka

c)

i) Anika juadah telah disediakan oleh pemaju itu untuk menarik orang ramai datang melihat rumah contoh dan keistimewaan rumah-rumah yang akan dibinakan oleh mereka.

ii) Sering kali menjelang Hari raya Aidilfitri ada sahaja kanak-kanak dimasuk ke hospital akibat kemalangan bermain mercon.

iii) Ibubapa digalak membawa anak-anak melawat saudara mara supaya hubungan silaturahim mereka tidak putus.

Tugasan Kumpulan

Tahniah kerana telah menyiapkan tugasan berikut:.
i. Slaid (Power Point) untuk pembentangan (komsas).
ii. Nota ringkas dan peta minda (komsas).
iii. Senarai peribahasa daripada buku teks Bahasa Malaysia Tingkatan 4.

Jangan lupa tugasan berikut:
i. Lagu (mp3) dan lirik.
ii. Soalan pemahaman Komsas.

Pemahaman: Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya

Jawab soalan di dalam buku pemahaman dan hantar pada 8 Julai 2009 (Rabu).
------------------------------------------------------------------------------
Prosa Tradisional: Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya


Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang dikemukakan dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sungguhpun demikian kata bapanya. Tiada jua didengar oleh anak kera itu, sedia kala pergi juga ia bermain-main dengan anak saudagar itu . Adapun luka anak kera itu sudahlah sembuh, tetapi luka anak saudagar itu belum juga sembuh lagi, beberapa pun diubati oleh tabib, tiada juga baik.

Maka kata tabib kepada saudagar itu, “Adapun luka anak tuan hamba ini, jika beroleh hati anak kera itu, sembuhlah.”

Setelah anak saudagar mendengar kata tabib demikian, maka katanya, “Meski hamba mati sekalipun, bahawa sesungguhnya tiadalah hamba mahu membunuh anak kera itu.”

Setelah dilihat oleh saudagar itu luka anaknya tiada juga mahu sembuh lagi , maka saudagar itu pun berfikir di dalam hatinya, “Baiklah, apabila datang anak kera itu, kubunuh.”

Syahadan, pada suatu hari, datanglah anak kera itu hendak bermain-main dengan anak saudagar itu seperti adat sedia kala juga, maka segera ditangkap oleh saudagar dan dibunuh akan dia, diambilnya hatinya lalu diubatkan anaknya itu. Maka luka anak saudagar itu pun sembuhlah. Demikianlah ceritanya.

(Dipetik daripada Cerita Anak Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya,
dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)



(i) Apakah maksud rangkai kata beberapa pun diubati oleh tabib berdasarkan petikan di atas?
[2 markah]

(ii) Apakah nasihat bapa kera kepada anaknya? Nyatakan akibat yang diterima oleh anak kera kerana tidak mendengar nasihat tersebut.
[2 markah]

(iii) Nyatakan empat sebab tindakan saudagar itu tidak wajar.
[4 markah]

ANALISIS KEKERAPAN SOALAN KOMSAS DALAM KERTAS 2 BMSPM

Murid-murid tingkatan 4 Bestari sila dapatkan analisis berkenaan di http://bmspm.net/jdanalisiskomsas.htm