Kenal Muka Buku (Facebook) ?

Salam semua.
Bagaimana dengan cuti? Seronok atau tidak bergantung kepada cara kalian merancang aktiviti untuk mengisi masa yang terluang. Isilah masa lapang kalian dengan aktiviti yang berfaedah.
Tutorial Asas Facebook

Markah Peperiksaan Akhir Tahun

Alhamdulillah proses penandaan kertas jawapan sudah selesai.

Sila berikan e-mel kalian atau e-melkan kepada cikgu [ ukharis@gmail.com ]untuk mengetahui markah yang diperoleh

Selamat bercuti dan jangan lupa jadikan membaca sebagai amalan berterusan.

Angka Roman Tidak Memerlukan Awalan Ke

Awalan ke tidak diperlukan untuk angka roman. Tuan Haji Muhammed Salehudin Aman menyatakan hal ini dalam ruangan “Cintai Bahasa Kita” dalam Dewan Siswa keluaran November 2009. Menurut beliau, jika angka itu angka roman, kata sendi ke dan tanda sempang tidak perlu ditulis.

Perkara ini tercatat juga dalam Koleksi Lembar Bahasa Bil 1. Cetakan pertama lembar ini adalah pada tahun 2002. Lembar ini dicetak ulang pada tahun 2006 dan 2007.

Ungkapan contoh yang salah dan yang betul adalah seperti yang di bawah:

*ke II → II
*ke-II → II
*ke III → III
*ke-III → III
*ke IV → IV
*ke-IV → IV
*ke V → V
*ke-V → V
*Kolokium Bahasa Melayu *ke VI → Kolokium Bahasa Melayu VI
*Kolokium Bahasa Melayu *ke-VI → Kolokium Bahasa Melayu VI
*Sukan SEA *ke XIV → Sukan SEA XIV
*Sukan SEA *ke-XIV → Sukan SEA XIV

------
Sumber asal: Blog Tuan Mohd Isa bin Abd Razak

ULBS Selesai

Tahniah kerana mendapat markah yang baik dalam ULBS.

Kerjasama kumpulan amat baik dan persembahan juga memberangsangkan.

Bahan Pembentangan Komsas

i. Tahniah kepada semua kumpulan kerana berjaya membentangkan tugasan komsas dan menyediakan nota ringkas dalam bentuk slaid.

ii. Ketua kumpulan sila bawa 'pendrive' untuk mengambil bahan-bahan pembentangan, kemudian cetak dan edarkan kepada ahli kumpulan.

Laman Pendidik


Laman yang banyak informasi berkaitan pendidikan
http://www.pendidikmy.net

Teks Baru Komsas

Sumber: Berita Harian
Oleh Nazmi Yaakub

KARYA pengarang veteran, berjenama, bergelar selain muda dipilih Kementerian Pelajaran sebagai teks Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (Komsas) dan Kesusasteraan Melayu untuk pelajar Tingkatan 1 dan 4 pada sesi persekolahan 2010.

Senarai baru teks bagi kedua-dua subjek berkenaan dengan Kesusasteraan Melayu sebagai mata pelajaran elektif bagi menggantikan buku lama yang digunakan sejak 10 tahun lalu, sudah pun diterima sesetengah sekolah, tetapi belum diedarkan kepada pelajar.

Sumber memberitahu Sastera, Berita Harian, hanya teks membabitkan genre karya klasik, sajak, cerpen dan drama yang sudah diterbitkan, manakala novel pula dalam proses dipermudahkan untuk membolehkan pelajar mudah memahami karya terbabit.

“Teks Komsas Tingkatan 1 yang sudah diedarkan di sekolah ialah Kasut Kelopak Jantung dan turut memuatkan cerpen Kasut Kelopak Jantung karya Ghazali Lateh dan Yuran (Omar Mamat), manakala drama pula, Arah Ke Mana (Datuk Johan Jaaffar) dan Surat Untuk Ina (Amiruddin Mohd Ali),” kata sumber itu.

Harga Remaja dipilih sebagai teks Komsas bagi Tingkatan 4 dengan cerpen di dalamnya didominasi sasterawan dan pengarang mapan, iaitu Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad lewat Ibu dan Ceper serta SN Abdullah Hussain (Melissa).

Teks itu turut mengandungi cerpen Penerima Anugerah Penulisan Sea 1996, Zaharah Nawawi, Pemain Catur dan penulis veteran, Zahari Affandi (Memori Seorang Tua), selain Erda Roslan Khairi (Israk) serta Raihanah Salleh (Biarkan Samudera).

“Hanya sbuah novel dijadikan teks Komsas untuk setiap tingkatan mengikut pecahan zon iaitu utara, tengah, selatan dan pantai timur, sekali gus menjadikan hanya empat novelis berpeluang melihat karya mereka dipilih sebagai teks. Novel SN Allahyarham Dr Syed Othman Syed Omar atau S Othman Kelantan, Juara (DBP – 1976) turut dipilih sebagai teks Komsas,” kata sumber itu lagi.

Selain Juara, sumber itu berkata, novel yang dipilih sebagai teks Komsas ialah Renyah karya Dr Gunawan Mahmood yang diterbitkan pada 1994; Melunas Rindu karya Hartini Hamzah (1999) dan Azea Hanani oleh Halis Azhan Mohd Hanafiah (1995).

Sastera difahamkan, teks baru Komsas dan Kesusasteraan Melayu hanya akan dipelajari pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 5 pada 2011 dan Tingkatan 3 (2012), manakala buku teks Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 hanya dijual di pasaran pada tahun depan, ekoran buku teks diberi percuma kepada pelajar, tetapi perlu dikembalikan pada akhir tahun.

Pada Januari tahun lalu, Sastera, Berita Harian, mendedahkan pemilihan teks Komsas bagi sekolah menengah yang disemak semula bagi menggantikan teks lama yang digunakan sejak 10 tahun lalu, ditumpukan pada novel popular dan teks yang mendapat sambutan pelajar dalam usaha menarik minat mereka membaca.

Pemilihan pada peringkat awal itu, tidak menyenaraikan puisi, cerpen, novel dan drama penerima Anugerah Penulisan Sea dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), hadiah sastera peringkat negeri dan swasta baik bertema Islam mahupun kemerdekaan, meskipun diberi perhatian panel pemilih.

Sumber memberitahu Berita Harian, tindakan tidak menyenaraikan karya SN dan penerima serta pemenang anugerah untuk buku teks yang baru kerana Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran, mendapati sebahagian teks sedia ada berat dan tidak sesuai untuk pelajar.

Bagaimanapun, sasterawan, pengarang dan persatuan penulis membantah hasrat itu termasuk SN Datuk (Dr) A Samad Said; Pemenang Anugerah Sastera Negara (ASN) yang baru diumumkan, SN Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Kementerian Pelajaran kemudian memberi jaminan pemilihan teks untuk Komsas mempertimbangkan tiga dimensi utama, iaitu dimensi bahan, pedagogi dan murid dengan dimensi bahan menggabungkan karya terbaik, bermutu, estetika dan kesesuaian.

Diambil dari Laman Pendidik

Jangan Jadi Macam Hang Utara

Teknik Menghasilkan Rumusan Berkesan

A. MENULIS PENGENALAN:

1. Tulis dan ubah perkataan daripada kunci kata soalan pertama sahaja. (tidak boleh ada perkataan ‘dan’ dalam pengenalan.

2. Mengubah maksud perkataan kunci kata pertama soalan:
* faktor = punca = sebab = penyebab = perkara yang mempengaruhi
* langkah = inisiatif = cara = kaedah = tindakan
* kesan = implikasi = kebaikan = keburukan = kesan positif = kesan negatif
* ciri = sifat = bentuk
* masalah = halangan = cabaran = kekangan

3. Contoh:
1. Rumuskan langkah-langkah mengatasi hakisan tanah dan faedahnya kepada masyarakat.

Pengenalan rumusan :
Rencana membincangkan cara-cara mengatasi hakisan tanah.

2. Buat satu rumusan tentang faktor yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan Bandar dan implikasinya kepada pembangunan di kawasan Bandar tersebut.

Pengenalan rumusan :
Petikan membincangkan punca-punca yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan Bandar.

3. Rumuskan ciri-ciri yang terdapat di dalam diri seorang pelajar cemerlang dan langkah melahirkan pelajar cemerlang. Panjang rumusan hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan.

Pengenalan rumusan :
Rencana membincangkan sifat-sifat yang terdapat di dalam diri seorang pelajar cemerlang.

4. Baca petikan di bawah dan buat satu rumusan tentang kepentingan sektor pertanian kepada Negara kita dan langkah untuk memajukan sektor pertanian negara. Panjang karangan mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pengenalan rumusan :
Rencana tersebut membincangkan faedah sektor pertanian kepada Negara.

5. Buat satu rumusan tentang keburukan makanan ringan kepada kanak-kanak dan cara-cara untuk mencegahnya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pengenalan rumusan :
Rencana tersebut membincangkan kesan negatif makanan ringan kepada kanak-kanak.


B. MENULIS ISI TERSURAT:

1. Isi jawapan berdasarkan kunci kata soalan yang pertama. (gunakan kunci kata dalam soalan. Jangan ubah)
2. Isi hanya yang terdapat dalam petikan sahaja.
3. Beri maksimum 6 isi. (Jumlah isi tersurat dan tersirat ialah 8 isi)
4. Jika kurang isi tersurat, jangan panik. Tambah isi tersirat anda.
5. Jika jumlah perkataan masih kurang 120 perkataan, anda digalakkan tambah isi tersurat.
6. Pastikan maksimum 2 isi dalam satu ayat. SEBAIK-BAIKNYA 1 isi dalam I ayat.
7. Gunakan penanda wacana untuk menggabungkan setiap ayat.

8. Contoh penggunaan ayat:

Contoh 1: Rumusan yang baik.(Katakanlah faktor banjir kilat)

-Faktor utama yang menyebabkan banjir kilat ialah keadaan longkang yang tersumbat.
-Selain itu, faktor yang lain termasuklah kurangnya kadar serapan air di kawasan bandar.
-Sementara itu, hujan lebat yang berterusan juga turut menjadi faktor fenomena tersebut.
-Terdapat juga faktor kurangnya sistem perangkap sampah di kawasan sungai berhampiran.
-Di samping itu, kekurangan tumbuhan di bandar menyebabkan banjir kilat terjadi.
-Faktor penyebab yang terakhir ialah hakisan tanah yang dihasilkan oleh pembinaan di Bandar.

Contoh 2 : Rumusan kurang baik. (akan ditolak 1 markah bahasa)

-Faktor pertama yang menyebabkan banjir kilat ialah keadaan longkang yang sempit.
-Faktor kedua ialah kurangnya kadar serapan di kawasan bandar.
-Faktor ketiga ialah hujan lebat yang berterusan di bandar.
-Faktor keempat ialah kekurangan tumbuhan di bandar.
-Faktor terakhir ialah hakisan tanah dari kawasan pembinaan.

9. JANGAN gunakan perkataan ‘harus/ patut/ mesti/ wajib/ hendaklah/ wajarlah’ dan lain-lain yang berbentuk cadangan. (Tiada markah diberi jika perkataan ini digunakan)
Salah : Langkah mengatasinya ialah kerajaan harus menguatkuasakankan undang-undang.
Sepatutnya : Langkah mengatasinya ialah kerajaan menguatkuasakan undang-undang.

Salah : Selain itu, kerajaan harus mengenakan denda yang tinggi kepada pesalah trafik.
Sepatutnya : Selain itu kerajaan mengenakan denda yang tinggi kepada pesalah trafik.

10. Contoh :
Contoh 1 :Rumuskan faktor kemalangan jalan raya dan langkah mengatasinya.

"Kemalangan jalan raya kerap berlaku di lebuh raya. Hal ini telah banyak menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Kejadian seperti ini perlu dibendung dan sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba harus disekat. "

Isi tersurat :
-Faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba.

Contoh 2 : Rumuskan kesan-kesan kemajuan teknologi kepada negara dan masalah yang dihadapi.

"Banyak kemajuan tercapai apabila manusia memperkenalkan sains dan teknologi. Pelbagai jenis ciptaan turut dihasilkan sehingga menyebabkan tugas yang dilaksanakan oleh orang ramai menjadi lebih mudah."

Isi tersurat :
- Selain itu, kesan kemajuan teknologi kepada negara ialah tugas yang dijalankan oleh orang ramai menjadi lebih mudah.

Contoh 3 : Rumuskan ciri-ciri tanaman kontan di negara kita dan kepentingannya.

"Antara tanaman kontan tersebut termasuklah getah dan kelapa sawit. Tanaman ini banyak ditanam di sini kerana tanah lateritnya yang subur. Hasil tanaman ini adalah digunakan untuk jualan yang memberi keuntungan kepada negara."

Isi tersurat :
- Ciri-ciri pertanian kontan yang lain termasuklah digunakan sebagai jualan bagi memberi keuntungan kepada negara.

Contoh 4 : Rumuskan kesan negatif kafe siber dalam kalangan remaja dan langkah mengatasinya.

"Umum mengetahui perkembangan kafe siber begitu pesat sehingga seperti cendawan tumbuh. Banyak pihak berpendapat bahawa perkembangan ini amat wajar bagi meningkatkan kemajuan IT dalam kalangan penduduk. Namun segelintir kecil menentangnya dengan alasan bahawa tempat ini akan menjadi tempat berkembangnya gejala sosial dalam kalangan remaja. "

Isi tersurat :
- Kesan negatif yang terakhir ialah kafe siber akan menjadi tempat berkembangnya masalah sosial dalam kalangan masyarakat.


C. MENULIS ISI TERSIRAT:

1. Berdasarkan kunci kata soalan yang kedua.
2. Isi bahagian ini perlu anda fikir sendiri dan bukan diambil dari petikan juga.
3. Jika isi tersirat yang anda fikirkan sudah ada dalam petikan juga, jangan ambil sebagai isi anda.
4. Penggunaan ayat dan penanda wacana adalah sama dengan isi tersurat.
5. Jumlah minimum ialah 2 isi tetapi jika isi tersurat kurang, bahagian isi ini perlu ditambah.
6. JANGAN gunakan perkataan ‘harus/ patut/ mesti/ wajib/ hendaklah/ wajarlah’ dan lain-lain yang berbentuk cadangan. (Tiada markah diberi jika perkataan ini digunakan)

7. Contoh :
Contoh 1 : Rumuskan kesan-kesan kemajuan teknologi kepada negara dan masalah yang dihadapi.

"Banyak kemajuan tercapai apabila manusia memperkenalkan sains dan teknologi. Pelbagai jenis ciptaan turut dihasilkan sehingga menyebabkan tugas yang dilaksanakan oleh orang ramai menjadi lebih mudah."

Isi tersirat :
- Masalah yang dihadapi dalam menyebarkan kemajuan teknologi ialah kekurangan pakar yang mampu memberi perkhidmatan dalam bidang ini kerana masih baru di negara kita.

Contoh 2 : Rumusan tentang kepentingan sektor pertanian kepada negara kita dan langkah untuk memajukannya.

Isi tersirat :
-Langkah untuk memajukan sektor pertanian yang seterusnya ialah kerajaan memberi kemudahan subsidi baja kepada para petani.

Contoh 3 : Rumuskan faktor kemalangan jalan raya dan langkah mengatasinya.

"Kemalangan jalan raya kerap berlaku di lebuh raya. Hal ini telah banyak menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Kejadian seperti ini perlu dibendung dan sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba harus disekat."

Isi tersirat :
- Langkah mengatasi kemalangan jalan raya yang terakhir adalah dengan menguatkuasakan undang-undang jalan raya kepada pemandu yang menyalahi peraturan di jalan raya.

Contoh 4 : Rumusan tentang keburukan makanan ringan kepada kanak-kanak dan cara-cara untuk mencegahnya.

Isi tersirat :
- Untuk mengatasi masalah ini, langkah lain ialah ibu bapa memberi didikan agar anak-anak memilih makanan yang seimbang.


D. MENULIS PENUTUP / ULASAN:

1. 3 aspek perlu ditulis iaitu:
i. siapa bertindak ii. apa tindakan iii. tujuan tindakan
2. Ayat mesti mengandungi perkataan berikut:
i. Kesimpulannya / Oleh itu / Justeru / Maka / Jadi
ii. harus / patutlah / mestilah / wajarlah / harus / patut
iii. supaya / agar
3. Ayat seharusnya berbunyi begini :

Contoh 1 :
Kesimpulannya, (siapa bertindak) harus (apa tindakan) agar (tujuan tindakan).

Contoh 2 :
Oleh itu, (siapa bertindak) harus (apa tindakan) agar (tujuan tindakan).

4. Contoh jawapan ulasan rumusan anda:
Contoh 1 :
Rumuskan faktor penyalahgunaan dadah dan langkah membanterasnya.

Ulasan rumusan:
Kesimpulannya, kerajaan dan masyarakat harus berganding bahu agar masalah penyalahgunaan dadah dapat diatasi.

Contoh 2 :
Buat rumusan tentang ciri makanan seimbang dan kebaikan makanan tersebut.

Ulasan rumusan:
Oleh itu, ibu bapa harus mendidik anak-anak mereka agar bijak memilih makanan yang seimbang.

Contoh 3 :
Rumuskan inisiatif untuk menggalakkan pelajar membaca dan masalah yang dihadapi.

Ulasan rumusan:
Oleh hal yang demikian, para pelajar patut bijak memilih buku yang dibaca agar mendapat pengetahuan yang berfaedah.

Contoh 4 :
Rumuskan faedah penggunaan Bahasa Inggeris dalam sains dan matematik serta permasalahannya.

Ulasan rumusan:
Kesimpulannya, para pelajar haruslah menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran mata pelajaran tersebut agar mutu bahasa Inggeris mereka dapat dipertingkatkan.

Sistem Bahasa: Pola Ayat Dasar

Ayat Dasar

1. Ayat dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa.

2. Walaupun terdapat berbagai-bagai jenis ayat dari segi binaan dan susunannya, asas binaannya terdiri daripada beberapa pola tertentu, yang disebut pola ayat dasar sesuatu bahasa.

3. Daripada pola itulah terbit ayat yang lain , sama ada ayat tunggal atau ayat majmuk, ayat pendek atau ayat panjang, ayat aktif atau ayat pasif dan sebagainya.

4. Dalam bahasa Melayu, pola ayat dasar boleh dibahagikan kepada empat jenis dengan berpandu kepada jenis-jenis binaan subjek dan predikatnya.

i. Frasa Nama + Frasa Nama
FN FN
Contoh: Encik Baihaqi (FN) seorang guru (FN)

ii. Frasa Nama + Frasa Kerja
FN FK
Contoh: Aniza(FN) membaca buku (FK)

iii. Frasa Nama + Frasa Adjektif
FN FK
Contoh: Rumah Intan (FN) besar (FA)

iv. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama
FN FS
Contoh: Dia (FN) dari Jitra (FN)

Rujukan:

Nik Safiah Karim et.al. 2008. Tatabahasa Dewan (Edisi ketiga), Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Abdullah Hassan. 2008. Tatabahasa Pedagogi Untuk Sekolah Menengah, PTS Profesional: Kuala Lumpur.


Latihan:


Bina empat ayat bagi setiap pola ayat dasar yang telah dipelajari.

Sistem Bahasa: Kata Pemeri Adalah dan Ialah

Sumber: Blog Santun Bahasa (Profesor Emeritus Abdullah Hassan)

---

Berikut ada sebuah permintaan daripada Encik Danish.

Salam Tuan Prof.

Saya hendak bertanya.

Saya keliru dengan penggunaan “ialah” dan “adalah”. Apa perbezaan antara dua perkataan itu, dan bagaimana hendak digunakan?

Terima kasih atas tunjuk ajar Tuan.

danish (dohimbang@yhoo.com)

Bahagian ini diambil daripada Tatabahasa Dewan edisi terakhir. Ini adalah Tatabahasa Dewan. Saya bukan pengarangnya.

Namun, saya sudah mencuba menyesuaikan bahasa dan poersembahannya supaya mudah difahami. Sila baca dengan teliti dan sekiranya masih ada kesukaran memahaminya, silalah kemukakan pertanyaan Encik kepada saya. Saya akan menjawab pertanyaan selanjutnya dengan menggunakan kaedah saya sendiri.

Kata Pemeri

Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Pemerihalan itu dapat dilakukan melalui dua cara, iaitu:

(i) secara persamaan antara subjek dengan predikat atau ekuatif, dengan penggunaan kata pemeri ialah,
(ii) secara huraian tentang subjek oleh predikat, dengan penggunaan kata pemeri adalah.

Penggunaan kata pemeri ‘ialah’ hadir di hadapan frasa nama seperti yang terdapat dalam ayat-ayat berikut:

148. Antara perkara yang dibicarakan dalam buku itu ialah masalah moral negara.
149. Dalam terjemahan komunikatif, yang mustahak ialah mesej yang hendak disampaikan.
150. Bahasa Melayu ialah bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia.

Kata pemeri ‘adalah’ pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi seperti yang terdapat dalam ayat berikut:

151. Sumbangan besar beliau adalah dari segi peningkatan ekonomi rakyat luar bandar.
152. Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan.

Perlu diingat bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas, dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembentukan ayat bahasa Melayu.

Perlu juga diingat bahawa kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh yang demikian, penggunaan kata pemeri ‘adalah’ dalam ayat-ayat berikut dianggap menyalahi tata nahu bahasa Melayu.

153. * Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.
154. * Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
155. * Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin. 156. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.

Ayat di atas seharusnya berbentuk seperti berikut:

Ayat 153. * Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok, yang betul adalah seperti berikut:

153a. Dengan ini diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok. ‘
153b. Anda diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
153c. Ibu bapa diberitahu sekolah akan ditutup esok.
153d. Tuan-tuan diberitahu sekolah akan ditutup esok.
153e. Dengan hormatnya diberitahu sekolah akan ditutup esok.

Ayat 154. *Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan, yang betul adalah sepert berikt:

154a. Dengan ini dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
154b. Tuan dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
154c. Anda dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.

Ayat 155. *Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin, yang betul adalah seperti berikut:

155a. Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin.

Ayat 156. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu, yang betul adalah seperti berikut:

156a. Kegagalan projek itu disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.

Sistem Bahasa: Kesalahan Ejaan dan Imbuhan

Jawab soalan di dalam kertas SMKMD dan hantar pada 26 Julai 2009 (Ahad).
-------------------------------------

Kenal pasti dan betulkan kesalahan ejaan dan imbuhan yang terdapat dalam ayat di bawah.

a)

i) Sejumlah RM10 juta akan dibelanjakan untuk mebina saluran paip di seluroh negara berikutan masalah bekalan air yang semakin meruncing.

ii) Kadar temiskin negara semakin menurun setelah pelbagai program dijalankan olih pihak kerajaan.

iii) Nenas merupakan hasil pertanian negara yang penting kerana telah menyumbang sejumlah pendapat kepada negara.

b)

i) Rumahtangga yang porak-peranda akan memberikan kesan buruk kepada anak-anak.

ii) Jabatan Pertanian Selangor telah mempromosikan minuman jus bungaraya sempena menyambut Hari Peladang se-Malaysia.

iii) Pelajar-pelajar hari ini begitu menekan untuk mencapai keputusan cermelang bagi memenuhi impian ibu bapa mereka

c)

i) Anika juadah telah disediakan oleh pemaju itu untuk menarik orang ramai datang melihat rumah contoh dan keistimewaan rumah-rumah yang akan dibinakan oleh mereka.

ii) Sering kali menjelang Hari raya Aidilfitri ada sahaja kanak-kanak dimasuk ke hospital akibat kemalangan bermain mercon.

iii) Ibubapa digalak membawa anak-anak melawat saudara mara supaya hubungan silaturahim mereka tidak putus.

Tugasan Kumpulan

Tahniah kerana telah menyiapkan tugasan berikut:.
i. Slaid (Power Point) untuk pembentangan (komsas).
ii. Nota ringkas dan peta minda (komsas).
iii. Senarai peribahasa daripada buku teks Bahasa Malaysia Tingkatan 4.

Jangan lupa tugasan berikut:
i. Lagu (mp3) dan lirik.
ii. Soalan pemahaman Komsas.

Pemahaman: Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya

Jawab soalan di dalam buku pemahaman dan hantar pada 8 Julai 2009 (Rabu).
------------------------------------------------------------------------------
Prosa Tradisional: Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya


Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang dikemukakan dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sungguhpun demikian kata bapanya. Tiada jua didengar oleh anak kera itu, sedia kala pergi juga ia bermain-main dengan anak saudagar itu . Adapun luka anak kera itu sudahlah sembuh, tetapi luka anak saudagar itu belum juga sembuh lagi, beberapa pun diubati oleh tabib, tiada juga baik.

Maka kata tabib kepada saudagar itu, “Adapun luka anak tuan hamba ini, jika beroleh hati anak kera itu, sembuhlah.”

Setelah anak saudagar mendengar kata tabib demikian, maka katanya, “Meski hamba mati sekalipun, bahawa sesungguhnya tiadalah hamba mahu membunuh anak kera itu.”

Setelah dilihat oleh saudagar itu luka anaknya tiada juga mahu sembuh lagi , maka saudagar itu pun berfikir di dalam hatinya, “Baiklah, apabila datang anak kera itu, kubunuh.”

Syahadan, pada suatu hari, datanglah anak kera itu hendak bermain-main dengan anak saudagar itu seperti adat sedia kala juga, maka segera ditangkap oleh saudagar dan dibunuh akan dia, diambilnya hatinya lalu diubatkan anaknya itu. Maka luka anak saudagar itu pun sembuhlah. Demikianlah ceritanya.

(Dipetik daripada Cerita Anak Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya,
dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)



(i) Apakah maksud rangkai kata beberapa pun diubati oleh tabib berdasarkan petikan di atas?
[2 markah]

(ii) Apakah nasihat bapa kera kepada anaknya? Nyatakan akibat yang diterima oleh anak kera kerana tidak mendengar nasihat tersebut.
[2 markah]

(iii) Nyatakan empat sebab tindakan saudagar itu tidak wajar.
[4 markah]

ANALISIS KEKERAPAN SOALAN KOMSAS DALAM KERTAS 2 BMSPM

Murid-murid tingkatan 4 Bestari sila dapatkan analisis berkenaan di http://bmspm.net/jdanalisiskomsas.htm

KOMSAS: Pantun Kiasan

Maksud Setiap Rangkap
  • Sesuatu benda yang telah rosak atau buruk tidak harus dibuang begitu saja kerana kemungkinan benda itu masih bleh digunakan untuk keperluan lain.
  • Orang dagang bersikap amat merendah diri sehingga mengakui kehadirannya tidak berguna atau tidak memberi faedah.
  • Seseorang lelaki ingin mendapatkan seseorang gadis sebagai kekasih atau isteri tetapi gadis idamannya itu sukar diperoleh kerana terlalu banyak halangan atau darjatnya terlalu tinggi.
  • Seseorang tidak harus beranggapan bahawa sesuatu yang belum pasti itu akan berjaya dimiliki kerana kemungkinan akan berlaku sesuatu peristiwa yang menyebabkan harapannya tidak kesampaian.
  • Seseorang yang memiliki kekuatan atau kemampuan untuk menyelesaikan masalah yang besar tentu saja tidak menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan masalah yang kecil.
Persoalan

  • Barang-barang yang sudah lama atau yang sudah rosak sebenarnya masih boleh digunakan untuk sesuatu tujuan lain.
  • Orang dagang sentiasa bersikap merendah diri di perantauan supaya tidak dianggap berlagak pandai atau angkuh.
  • Sesuatu yang berharga atau cita-cita yang tinggi memang sukar dicapai kerana banyak halangan.
  • Sikap suka menganggap sesuatu yang belum pasti itu sudah menjadi hak milik kita boleh mendatangkan kekecewaan.
  • Setiap orang mempunyai kebolehan untuk menyelesaikan sesuatu masalah, baik masalah yang kecil mahpun masalah yang besar.

Nilai dan Pengajaran
  • berjimat cermat
  • merendah diri
  • berani
  • yakin diri

KOMSAS: Pantun Mengenang Nasib

Maksud Setiap Rangkap

  • Masalah yang besar dapat diselesaikan berbeza dengan masalah hati dan perasaan; atau masalah luaran lebih mudah diselesaikan jika dibandingkan dengan kekecewaan atau sakit hati yang dialami.

  • Kesenangan atau kebahagian yang diharapkan berkekalan sepanjang masa berakhir dengan kesusahan.

  • Kecederaan di luar seperti luka di tangan memang dapat dilihat oleh orang lain tetapi kekecewaan atau kesedihan di dalam hati tidak diketahui sesiapa.

  • Kita tidak boleh mengharapkan nasib yang baik saja sepanjang masa kerana nasib baik atau nasib buruk sudah menjadi adat dalam kehidupan dan terpaksa dihadapi oleh setiap orang.

Tema Dan Persoalan

  • Perasaan sedih atau perasaan kecewa yang sukar diubati.
  • Nasib baik tidak selalu menimpa kita kerana ia merupakan takdir tuhan.
  • Perasaan kesedihan dan kekecewaan dapat menyembunyi daripada orang lain keran ia terpendam dalam hati seseorang dan sukar dilihat melalui luaran.

Bentuk

  • Terdiri daripada 4 rangkap
  • Bilangan baris adalah sama iaitu 4 baris serangkap
  • Rima akhir ialah a,b,a,b
  • Bilangan kata pada setiap baris hampir sama iaitu 4 hinggan 5 patah perkataan sebaris.
  • Bilangan suku kata pada setiap baris juga hampir sama, iaitu 9 hingga 10 suku kata.

Gaya Bahasa/Unsur Keindahan

  • Bahasa Kiasan
  • Anafora
  • Asonansi
  • Aliterasi
  • Puitis

Nilai/Pengajaran

  • Kesabaran dan Ketabahan
  • Percaya pada qadak dan qadar
  • Menjaga hati dan perasaan seseorang
  • Menerima takdir tuhan
  • Menyembunyikan kesusuhan atau perasaan susah hati