Latihan 2: Rumusan dan Pemahaman

Sila jawab latihan ini pada minggu ke-2 cuti.
---------

i. Baca petikan berikut dengan teliti, kemudian buat rumusan tentang cara-cara mengurus tekanan dan kepentingan pengurusan tekanan kepada individu. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Tekanan didefinisikan sebagai satu tindak balas mental dan fizikal terhadap pengalaman pahit atau sukar yang dialami oleh seseorang. Tekanan yang berterusan akan memberikan kesan buruk terhadap mental, emosi dan jasmani. Oleh itu, tekanan perlu diurus dengan baik supaya tindakan-tindakan yang terhasil merupakan tindakan yang mencerminkan kebijaksanaan dan bukan tingkah laku melulu yang memalukan. Ekoran itu, setiap individu perlu mengetahui cara-cara mengurus tekanan dengan baik supaya tekanan tidak menguasai diri mereka.

Pepatah ada mengatakan bahawa mencegah lebih baik daripada mengubati. Kita perlu mengelakkan gejala ini sebelum terlambat dengan mengamalkan budaya hidup sihat, bukan sahaja dari segi pemakanan tetapi juga dari segi pergaulan. Beriadah merupakan salah satu amalan budaya hidup sihat. Aktiviti ini membolehkan seseorang itu mendapat tidur yang berkualiti dan menghindarkan kemurungan serta meningkatkan daya tahan. Kita juga perlu membuang segala perasaan buruk dan sentiasa berfikiran positif. Hal ini dapat dilakukan dengan memberikan kata-kata perangsang yang dapat meredakan perasaan negatif supaya kita berada dalam keadaan yang lebih terkawal dan seimbang. Walau bagaimanapun, jika kita gagal berbuat demikian, kita boleh memikirkan hikmah atau kebaikan di sebalik perkara-perkara buruk itu. Seseorang itu dapat menegaskan kepada dirinya bahawa seteruk mana sekalipun sesuatu perkara itu menyakitkan hatinya, bukan bererti dunia telah berakhir dalam hidupnya. Kita hendaklah memahami bahawa kitalah yang bertanggungjawab menentukan emosi kita. Oleh itu, kita hendaklah ingat bahawa perasaan marah tidak memberikan keuntungan, sebaliknya keadaan diri sendiri akan menjadi lebih buruk.

Tekanan juga boleh diatasi dengan cara memikirkan perkara-perkara yang menggembirakan kehidupan kita. Contohnya, seseorang itu boleh mengimbau kejayaan-kejayaan yang telah dicapai selama ini kerana dengan berbuat demikian, dia berasa lebih yakin dan mampu menghadapi cabaran. Penglibatan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dapat menghindarkan tekanan dalam diri kita. Pergaulan dalam masyarakat membolehkan kita tidak keseorangan dalam menghadapi masalah hidup. Oleh itu, luahkan masalah tersebut kepada orang yang boleh dipercayai secara terus-terang dan tidak menyimpannya dalam hati kerana masalah yang dipendam akan menjadi racun yang membunuh secara senyap.

Berjenaka juga dapat mengurangkan kerunsingan kerana dengan ketawa seseorang dapat melupakan masalah yang dihadapinya. Di samping itu, kita perlu kembali kepada kepercayaan agama masingh-masing supaya dapat menenangkan fikiran dan emosi. Kita perlu sedar bahawa masalah hati tidak dapat diatasi sekiranya kita sekiranya kita lemah dalam penghayatan agama.

( Diubahsuaikan daripada Membina Motivasi Diri Tatkala Tertekan
oleh Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj, Dewan Masyarakat, Mac 2002 )



ii. Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas ,jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata bukan bererti dunia telah berakhir. [ 2 markah ]

(ii) Apakah kesan daripada kegagalan mengurus tekanan? [ 3 markah ]

(iii) Huraikan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dapat mengurangkan tekanan. [ 4 markah ]

2 Ulasan:

Jenn Yeu said...

-Beriadah

-membuang segala perasaan buruk dan sentiasa berfikiran positif

-memikirkan hikmah atau kebaikan di sebalik perkara-perkara buruk itu

-memikirkan perkara-perkara yang menggembirakan kehidupan kita

-ingat bahawa perasaan marah tidak memberikan keuntungan

-penglibatan diri dalam kegiatan kemasyarakatan

-luahkan masalah tersebut kepada orang yang boleh dipercayai

-Berjenaka

-kita perlu kembali kepada kepercayaan agama masingh-masing

Jenn Yeu said...

a. tidak bermaksud bahawa kemusnahan kehidupan

b. memberikan kesan buruk terhadap mental, emosi dan jasmani.
- tindakan menjadi tingkah laku melulu yang memalukan
- tekanan akan menguasai diri kita

c. - gotong-royong
- lawat-melawati jiran tetangga
- aktiviti riadah
- rumah terbuka
- menyertai kegiatan sukarelawan

Post a Comment